Arsene Wenger mengakui, pemburuan Arsenal untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris semakin terumbang-ambing selepas menerima tamparan hebat apabila tewas mengejut 0-1 kepada Stoke, kelmarin.
Gol hasil sepakan penalti pada babak kedua membolehkan Stoke melakar kemenangan di Stadium Britannia dan menyaksikan The Gunners jatuh di kedudukan ketiga serta keciciran empat mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris, Chelsea.
Pasukan dari Utara London itu hanya mencatat satu kemenangan dalam lapan kunjungan mereka ke Stoke dan Wenger mengakui, keputusan tersebut adalah antara yang paling buruk dilakar pasukannya.
"Kekalahan ini wajar menjadi satu kebimbangan yang besar kerana kami telah tewas dengan cara sedemikian rupa. Ia merupakan satu tamparan yang hebat buat kami. Dalam perlawanan sebegini, kami gagal mempamerkan apa yang kami mahukan. Untuk merangkul gelaran anda perlu memberi prestasi yang terbaik. Itu sahaja jawapannya," kata Wenger.
Walaupun Potters kini mendapat pengendali baru iaitu Mark Hughes yang menggantikan Tony Pulis, permainan pasukan tuan rumah tidak banyak yang berubah.
Glenn Whelan dan Charlie Adam, kedua-dua pemain tersebut terlepas daripada hukuman pengadil, Mike Jones selepas melakukan kekasaran yang mencetuskan kontroversi ke atas Olivier Giroud yang nyata mengecewakan penyerang Perancis itu.
"Tiada apa yang boleh saya perkata mengenai insiden tersebut. Saya sudah cukup letih untuk membuat penilaian sendiri," kata Wenger.
Bagaimanapun, pengurus Arsenal tidak tertarik dengan keputusan Jones yang memberikan sepakan penalti setelah bola terkena tangan Laurent Koscielny apabila pemain Stoke, Jonathan Walter menyepak tinggi bola ke udara.
"Kami bolos setelah pengadil memberikan hadiah yang cukup bernilai kepada pasukan lawan, tetapi semua itu boleh terjadi. Dia hanya berada lebih kurang satu ela (0.9 meter) dengan pemain. Bagaimana dia mahu segera mengalihkan tangannya? Dia tidak berniat sama sekali," tambah Wenger.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment