Free Islamic App

Tuesday, 25 March 2014

Peluang Wenger balas dendam

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berpeluang membuatkan Jose Mourinho menelan semula kata-katanya apabila Gunners berkunjung ke Stamford Bridge.

Peluang Wenger balas dendam


Tiada cara yang lebih baik buat Wenger untuk meraikan perlawanan ke-1,000 beliau mengendalikan Arsenal selain mencatatkan kemenangan, sekali gus mencalarkan rekod bersih Chelsea yang belum pernah kalah di tempat sendiri musim ini.
Peluang Chelsea untuk menjuarai liga sedikit terjejas apabila tewas 1-0 kepada Aston Villa dan kemenangan Liverpool, Arsenal serta Manchester City merancakkan lagi persaingan dengan jurang mata yang semakin mengecil antara keempat-empat pasukan itu.
Skuad kendalian Mourinho masih mendahului dengan kelebihan empat mata ke atas Arsenal dan Liverpool tetapi sudah beraksi lebih satu perlawanan. Mereka juga berada enam mata di hadapan City, namun The Citizens mempunyai tiga perlawanan dalam tangan.
City akan melayani kunjungan kelab tercorot, Fulham sementara Liverpool dijangka meraih kemenangan kali keenam berturut-turut apabila bertemu Cardiff City yang kini bergelut di zon penyisihan.
Wenger melabelkan komen yang diberikan Mourinho sebagai "bodoh" dan "tidak menghormati orang lain" apabila memperle­cehkan pengurus dari Perancis itu kerana gagal meraih sebarang trofi sejak lapan musim lalu.
"Adakah saya terlalu takut kepada kegagalan? Dia (Wenger) adalah seorang pakar dalam kegagalan, bukan saya. Sekiranya sesiapa mengatakan dia betul dan saya takutkan kegagalan, itu adalah kerana saya tidak banyak gagal, " kata Mou­rinho.
Wenger telah menyemarakkan perang mulut antara mereka apabila beliau mempersoalkan tujuan Mourinho yang berkata Chelsea adalah "seekor kuda kecil" dalam perlumbaan memburu kejua­raan dengan Manchester City merupakan seekor "harimau kumbang".
Arsenal kelihatan merosot dalam persaingan selepas kalah berturut-turut di tempat lawan, tetapi kemenangan 1-0 ke atas satu lagi pasukan di utara London, Tottenham Hotspur pada minggu lalu mengembalikan mereka ke dalam pertarungan untuk memburu kejuaraan pertama sejak 2004 - tahun yang mana Mourinho tiba di London dan menggelar dirinya sebagai ‘Yang Teristimewa’.
Kemenangan di Stamford Bridge akan meletakkan Arsenal hanya satu mata dari puncak carta liga dengan satu perlawanan dalam tangan, yang merupakan satu pencapaian bagus memandangkan mereka tidak dapat menggunakan khidmat beberapa pemain utama seperti Jack Wilshere, Aaron Ramsey, Theo Walcott dan Mesut Ozil yang cedera.
Pemain tengah dari Republik Czech, Tomas Rosicky, yang menjadi wira Arsenal apabila menja­ringkan gol menarik ketika bertemu Spurs tidak merasakan kemenangan ke atas Chelsea adalah anak kunci kepada peluang pasukannya.
"Memang satu perlawanan yang cukup penting ketika berdepan Chelsea namun masih banyak lagi perlawanan selepas ini, jadi kita tidak tahu apa akan terjadi.
"Dalam dua perlawanan sahaja lihatlah bagaimana segalanya telah berubah dengan cepat, jika sebelum ini ramai memperkatakan Chelsea dan Manchester City sahaja namun sekarang Liverpool secara tiba-tiba berada dalam persaingan," katanya.

Sumber -Foxsportmalaysia

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk