Penantian penyerang Atletico Madrid, Diego Costa untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan Sepanyol akhirnya tercapai apabila dia dipanggil bagi menghadapi Itali dalam perlawanan persahabatan sebelum juara Piala Dunia 2010 itu menamakan keseluruhan skuad bagi mempertahankan kejuaraan mereka di Brazil pada Jun ini.
Ironinya Costa juga bermain buat kali pertama untuk negara kelahirannya, Brazil dalam perlawanan menentang skuad Azzuri kira-kira setahun lalu.
Bagaimanapun, sejak itu dia telah menukar kerakyatan dan setelah tidak dapat bermain dalam perlawanan persahabatan menentang Equatorial Guinea dan Afrika Selatan pada November lalu akibat cedera, akan mendapat perlawanan pertamanya bersama Sepanyol di gelanggang kelabnya, Stadium Vicente Calderon.
Pemain berusia 25 tahun itu dijangka bersaing dengan pemain Manchester City, Alvaro Negredo untuk posisi penyerang tunggal di Brazil kelak kerana jurulatih pasukan, Vicente Del Bosque tidak mahu lagi memilih David Villa dan Fernando Torres untuk skuad 22 pemainnya.
Hanya Gerard Pique nama besar yang tidak akan bermain menentang Itali akibat kecederaan, oleh itu Sergio Ramos berkemungkinan digandingkan dengan Javi Martinez atau Raul Albiol.
"Perlawanan ini akan menjadi satu aksi yang baik kerana kita semua tahu Itali adalah antara pasukan terkuat di dunia dan mereka sentiasa dipandang tinggi oleh pasukan bola sepak Sepanyol, saya yakin semua penyokong akan berasa teruja untuk menyaksikan perlawanan itu nanti.
"Saya harap perlawanan ini akan meningkatkan motivasi kami dan para penyokong menjelang Piala Dunia 2014," kata Ramos.
Del Bosque juga berada dalam dilema untuk memilih penjaga gol utama kerana Iker Casillas jarang diberikan tempat oleh Real Madrid, namun menunjukkan persembahan cemerlang dalam kempen Piala Raja Sepanyol dan Liga Juara-juara.
Victor Valdes menjadi pesaing utama kepada Casillas selepas penjaga gol Barcelona itu kerap diturunkan dalam beberapa perlawanan persahabatan.
"Saya harap dapat diturunkan ketika menentang Itali kerana untuk berada dalam pasukan kebangsaan cukup penting dan saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih yang masih menaruh sepenuh kepercayaan kepada saya," kata Casillas.
Pertahanan Chelsea, Cesar Azpilicueta dan pemain Bayern Munich, Thiago Alcantara juga mungkin berpeluang memenangi hati Del Bosque untuk disenaraikan ke dalam skuad yang akan ke Piala Dunia.
Sementara itu Itali sudah tentu mahu membalas dendam terhadap kekalahannya ke skuad La Rojas dalam perlawanan akhir Euro 2012 serta menerusi situasi sepakan penalti pada separuh akhir Piala Konfederasi.
Bagaimanapun, mereka berdepan tugasan berat ekoran masalah kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama seperti Mario Balotelli dan Daniele de Rossi.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment