Manchester City merangkul kejuaraan sulungnya pada musim ini apabila memenangi gelaran Piala Liga selepas membenam Sunderland 3-1 pada perlawanan akhir di Stadium Wembley, semalam.
Kejayaan tersebut merupakan kejuaraan kali ketiga buat The Citizen selepas pernah menjulang Piala Liga pada tahun 1970 dan 1976.
Apa yang menjadi lebih manis lagi, gelaran tersebut adalah trofi pertama buat pengurus baharu City, Manuel Pellegrini yang mengambil alih kelab itu daripada pengendali terdahulu Roberto Mancini yang dipecat pada musim lepas.
Kemenangan merangkul Piala Liga bermakna, City telah pun mencapai salah satu sasaran trofi yang berada dalam radar kelab kaya raya itu, selain berhasrat muncul juara Liga Perdana Inggeris dan juga Piala FA.
Pada perlawanan semalam, Sunderland terlebih dahulu mendapatkan jaringan menerusi penyerang pinjaman dari Liverpool, Fabio Borini yang meledakkan gol pada minit ke-10 melalui rembatan rendah kaki kanannya yang menewaskan penjaga gol, Costel Pantilimon dalam kotak penalti.
Tersentak dengan jaringan awal tersebut, City yang enggan kegagalan merangkul Piala FA pada musim lepas berulang lagi, telah melancarkan beberapa siri serangan, tetapi mereka gagal menembusi kekebalan kubu Sunderland sehingga babak pertama berakhir.
Bagaimanapun, City yang tidak mudah berputus asa meneruskan pemburuan gol mereka pada separuh masa kedua akhirnya berhasil apabila pemain tengah, Yaya Toure melakukan rembatan kaki kanan yang menggegar gawang lawan untuk gol penyamaan pada minit ke-55.
Skuad bimbingan Pellegrini yang semakin bernafsu untuk mencari kemenangan sekali lagi berjaya menembusi pintu gol Sunderland yang dikawal Vito Mannone dan kali ini giliran Samir Nasri meledakkan gol kedua seminit selepas gol penyamaan dijaringkan.
Penyerang City, Jesus Navas memasti kemenangan menjadi milik The Citizen untuk mendapatkan kejuaraan pertama Piala Liga apabila menjadikan kedudukan 3-1 ketika permainan masuk pada masa kecederaan.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment