Free Islamic App

Thursday 12 December 2013

Kaji semula pendidikan formal


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sektor pendidikan formal dikaji semula supaya lebih ramai golongan muda berminda keusahawanan dapat dilahirkan, bukan bergantung kerjaya sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bidang itu adalah pilihan karier terbaik terutama bagi melonjakkan transformasi ekonomi kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Kajian itu perlu supaya dapat menyediakan golongan muda yang mampu menerima cabaran untuk menjadi seorang usahawan dan bukannya bergantung kepada pilihan pekerjaan tradisional semata-mata, katanya ketika merasmikan mesyuarat ke-3 UNESCO-APEID (Program Inovasi Pendidikan Bagi Pembangunan Asia Pasifik) mengenai Pendidikan Keusahawanan, di sini, semalam.

Kira-kira 120 peserta dari 21 negara termasuk pembuat dasar, pendidik dan usahawan menghadiri mesyuarat tiga hari yang turut membentangkan 13 kertas kerja.

Pada majlis itu, Muhyiddin melancarkan Rangkaian Pendidikan Keusahawanan UNESCO (EE-Net).

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan menyedari pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan kemahiran yang menjana pemikiran keusahawanan dan kepemimpinan.

Sehubungan itu, katanya, institusi pengajian tinggi perlu menggariskan usaha strategik bagi memupuk pemikiran keusahawanan dan inovatif generasi muda.
Dalam melahirkan pendidikan keusahawanan, kita sedar banyak cabaran berbeza perlu dihadapi terutama apabila institusi pembelajaran mempunyai keutamaan masing-masing.

Satu daripada isu penting ialah kandungan dan pedagogi iaitu apa yang perlu dicapai dan bagaimana untuk mengajar mereka. Selain itu, adakah pendidik dilatih untuk membangun serta menyokong pemikiran keusahawanan, katanya.

Kisah tokoh veteran

Sementara itu, di Putrajaya, Kementerian Pendidikan semalam menerima 6,000 naskhah buku bertajuk 100 Wira Negara memuatkan kisah tokoh veteran yang berjasa kepada tanah air untuk diedarkan ke sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Muhyiddin menerima sumbangan itu daripada Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang menghasilkan buku berkenaan.

Buku 100 Wira Negara yang dilancarkan pada tahun lalu itu adalah sebagai pengiktirafan kepada wira negara yang banyak berkorban dan menyumbang ke arah kesejahteraan serta kemajuaan mesyarakat di negara ini.

Sumbangan 6,000 buku menerusi MUBARAK kepada Kementerian Pendidikan itu ditaja Kumpulan UEM Bhd (UEM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) untuk diedarkan ke sekolah seluruh negara supaya menjadi iktibar kepada pelajar.

Ia diserahkan oleh Aziz kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam satu upacara simbolik yang disaksikan Muhyiddin, di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri juga menyaksikan dua penaja buku 100 Wira Negara iaitu UEM yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Izzaddin Idris dan Bank Rakyat, diwakili Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik, menyerahkan tajaan kepada Khair.

Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS


Lima bukti kegiatan Syiah pemimpin PAS

Kuala Lumpur: Sekurang-kurang lima bukti kukuh akan dikemukakan bagi membuktikan kegiatan serta kecenderungan seorang pemimpin kanan PAS terhadap fahaman Syiah di negara ini.

Menurut sumber, segala bukti itu sudah lama dikumpul pihak berkuasa yang sememangnya sudah sekian lama menyedari kegiatan pemimpin PAS terbabit yang mengamalkan fahaman bertentangan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.


Difahamkan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan mengadakan sidang media dalam masa terdekat bagi mendedahkan kepada orang ramai berhubung kegiatan Syiah pemimpin kanan PAS terbabit.

Enggan dedah secara teliti

Beliau bagaimanapun, enggan mendedahkan secara teliti lima bukti yang dimaksudkan bagi mengait pemimpin PAS kerana ia akan didedahkan oleh pihak berkaitan dalam masa terdekat.

Antara kecenderungan pemimpin PAS terbabit terhadap gerakan Syiah ialah mengagumi serta menyeru supaya meneladani pemimpin revolusi Iran iaitu Ayatollah Khomeini, serta perlu menyokong pemimpin Iran itu.

Beliau juga secara terangan mengakui mengagumi ulama Syiah Lubnan selain turut menuntut ilmu agama dengan seorang guru agama Syiah di utara tanah air dan kerap berkunjung ke Iran.
Semua bukti itu sudah ada dengan pihak berkuasa dan ia akan didedahkan kepada umum satu masa nanti, katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Pemimpin PAS yang didakwa berfahaman Syiah didedahkan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO pada ucapan penggulungan Perhimpunan Agung UMNO, Sabtu lalu.

Sikap berpura-pura

Sementara itu, bekas Naib Presiden PAS, Datuk Nakhaie Ahmad, berkata Syiah sememangnya sudah meresap dalam parti itu selepas revolusi Iran dan ramai kalangan mereka menghantar anak belajar ke negara itu.

Nakhaie berkata, Syiah berjaya meresap dalam PAS adalah kerana revolusi Iran dan pada masa itu, mereka masih belum memahami Syiah dalam erti kata sebenar yang boleh membawa kepada penyelewengan akidah.

Nak kesan pengikut fahaman Syiah ini amat susah kerana mereka mempunyai sikap berpura-pura, misalnya bila berada di tanah suci Makkah golongan ini boleh solat mengikut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, katanya.

Teliti bukti KDN

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata JAKIM perlu meneliti bukti dikemukakan KDN sebelum melakukan penyiasatan terhadap pemimpin kanan PAS yang didakwa mengamalkan ajaran Syiah.

Katanya, tindakan yang akan diambil nanti, bukan hanya bertumpu kepada pemimpin kanan PAS itu, malah kepada semua yang mengamalkan ajaran Syiah.

Tidak kira pemimpin nombor satu, dua, tiga atau empat, ia merangkumi semua dan tidak terikat kepada mana-mana parti. Asalkan dia orang Malaysia dan Islam, kemudian dia terikat dengan Syiah, tindakan akan diambil.

Kita akan berbincang dengan KDN, kita nak tengok bagaimana pendedahan (yang akan dibuat). Di Malaysia, muzakarah fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan Syiah kerana ia terkeluar daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu dari sudut hukum. Cuma, dari sudut pendakwaan kita perlukan kepada pembuktian, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perasmian sambutan Bulan Zakat dan Ijtima Amil Zakat Kebangsaan 2013 di sini, semalam.

Rozaimi tekad lebih tangkas jumpa Laos


Penyerang sensasi dari Sabah, Rozaimi Abd Rahman muncul penjaring sulung skuad Harimau Muda di Sukan SEA Myanmar apabila rembatannya pada minit ke-30 menerjah jaring gol untuk kemenangan 2-0 ke atas Brunei pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Zeyar Thiri, malam tadi.

Namun Rozaimi, 21, tidak dapat meneruskan sentuhannya itu untuk menambah lebih banyak gol apabila beberapa percubaannya sama ada digagalkan penjaga gol lawan atau sedikit sipi daripada gawang gol Brunei.


Bagaimanapun, penyerang lincah itu berjanji untuk menampilkan persembahan lebih baik dan tidak akan mempersiakan peluang terhidang pada aksi kedua bertemu Laos, Jumaat ini.

Memang banyak peluang tidak dapat disempurnakan saya dan rakan lain pada perlawanan ini, tapi ini baru aksi pertama, saya yakin aksi kedua nanti kami akan buat yang lebih baik.

Bukan kerana kami tertekan tetapi pada aksi pertama kami baru nak cari sentuhan sedangkan Brunei sudah menghadapi dua perlawanan, jadi mereka tampil lebih yakin.

Enggan letak sasaran

Saya percaya segala kekurangan ini mampu diperbaiki untuk aksi kedua nanti," kata Rozaimi ketika ditemui selepas perlawanan.
Biarpun bumi Myanmar sentiasa menghadirkan tuah buat Rozaimi seperti ketika dia muncul penjaring terbanyak Kelayakan Piala Asia B-22 di Yangon, Julai tahun lalu dengan menjaringkan 10 gol, Rozaimi enggan meletakkan sasaran jumlah jaringan untuk Sukan SEA sulungnya ini.

"Saya tak letak apa-apa sasaran peribadi. Cuma jika saya yang mendapat peluang di depan gol, saya akan lakukan yang terbaik. Apa pun kemaraan dan kemenangan pasukan itu yang lebih penting," tegas Rozaimi.

Cahill tuntut Chelsea bangkit


London: Pertahanan Chelsea, Gary Cahill memberi amaran kepada rakan sepasukannya supaya tidak lagi membuat kesilapan sekiranya mahu melihat The Blues muncul juara Liga Juara-Juara, musim ini.

Anak buah Jose Mourinho akan bertemu Steaua Bucharest pada aksi terakhir Kumpulan E di Stamford Bridge awal pagi nanti selepas mengalami kekalahan mengejut 3-2 kepada Stoke dalam saingan hujung minggu lalu.


Chelsea sudah pun mara ke pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara namun kemenangan ke atas kelab kerdil dari Romania itu begitu penting untuk memastikan kedudukan teratas mampu diraih dan mereka perlu turun dengan aksi lebih mantap untuk memastikan kejayaan mampu dicapai.

Tidak dibolosi

Kekalahan sesuatu yang membimbangkan. Kami berjaya memastikan gol tidak dibolosi dalam banyak perlawanan musim ini, namun dalam dua perlawanan terakhir, kami membiarkan gawang kami dibolosi dengan terlalu banyak gol.

Itu tidak seperti kebiasaan pasukan ini dan ia kesilapan individu, kata Cahill. Kita bercakap mengenai perlawanan selepas aksi dengan Sunderland dan terdapat beberapa kesilapan ketika mempertahankan gawang ketika sepakan percuma diperoleh pihak lawan.

Kami menilai perkara itu dan ia bukan kesilapan besar. Mungkin ia hanya tidak bernasib baik tetapi ini keputusan yang teruk bagi kami ketika aksi di tempat lawan, katanya. AFP

Video Gol Harimau Muda (Malaysia) 7 – 0 Filipina | 25 Jun 2012


HARIMAU Muda A mencatat kemenangan pertama Kelayakan Piala Asia B22 menewaskan Filipina 7-0 dalam perlawanan kedua kumpulan G di Stadium Aung San, Myanmar petang ini.
Gol Malaysia yang dijaringkan oleh Rozaimi Abdul Rahman (m-3, 35, 62, 74), Fandi Othman (33), Wan Zaharulnizam (40) dan D Saarvindran (92) melengkapkan pesta gol skuad kendalian Ong Kim Swee.
Harimau Muda yang sebelum ini tewas 2-3 kepada Korea Selatan dalam perlawanan pertama Sabtu lalu, bermula garang, dengan jaringan seawal minit ke-3 sebelum menambah tiga lagi jaringan pada babak pertama.
Filipina terus dirundung malang apabila Rozaimi sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada babak kedua minit 62 dan 74 sebelum D Saarvindran melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia pada minit 92.
Malaysia kini berada di kedudukan keempat dalam kumpulan selepas dua perlawanan dengan mengutip tiga mata hasil satu kemenangan dan satu kalah.
- See more at: http://ezany-kun.com/video-gol-harimau-muda-malaysia-7-0-filipina-25-jun-2012/#sthash.DsDnVjkn.dpuf

Widget Ping Busuk