Free Islamic App

Thursday 12 December 2013

Kaji semula pendidikan formal


Kuala Lumpur: Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu sektor pendidikan formal dikaji semula supaya lebih ramai golongan muda berminda keusahawanan dapat dilahirkan, bukan bergantung kerjaya sedia ada.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bidang itu adalah pilihan karier terbaik terutama bagi melonjakkan transformasi ekonomi kepada negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.


Kajian itu perlu supaya dapat menyediakan golongan muda yang mampu menerima cabaran untuk menjadi seorang usahawan dan bukannya bergantung kepada pilihan pekerjaan tradisional semata-mata, katanya ketika merasmikan mesyuarat ke-3 UNESCO-APEID (Program Inovasi Pendidikan Bagi Pembangunan Asia Pasifik) mengenai Pendidikan Keusahawanan, di sini, semalam.

Kira-kira 120 peserta dari 21 negara termasuk pembuat dasar, pendidik dan usahawan menghadiri mesyuarat tiga hari yang turut membentangkan 13 kertas kerja.

Pada majlis itu, Muhyiddin melancarkan Rangkaian Pendidikan Keusahawanan UNESCO (EE-Net).

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kerajaan menyedari pendidikan memainkan peranan penting dalam membangunkan kemahiran yang menjana pemikiran keusahawanan dan kepemimpinan.

Sehubungan itu, katanya, institusi pengajian tinggi perlu menggariskan usaha strategik bagi memupuk pemikiran keusahawanan dan inovatif generasi muda.
Dalam melahirkan pendidikan keusahawanan, kita sedar banyak cabaran berbeza perlu dihadapi terutama apabila institusi pembelajaran mempunyai keutamaan masing-masing.

Satu daripada isu penting ialah kandungan dan pedagogi iaitu apa yang perlu dicapai dan bagaimana untuk mengajar mereka. Selain itu, adakah pendidik dilatih untuk membangun serta menyokong pemikiran keusahawanan, katanya.

Kisah tokoh veteran

Sementara itu, di Putrajaya, Kementerian Pendidikan semalam menerima 6,000 naskhah buku bertajuk 100 Wira Negara memuatkan kisah tokoh veteran yang berjasa kepada tanah air untuk diedarkan ke sekolah menengah dan rendah di seluruh negara.

Muhyiddin menerima sumbangan itu daripada Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK), Tan Sri Abdul Aziz Rahman, yang menghasilkan buku berkenaan.

Buku 100 Wira Negara yang dilancarkan pada tahun lalu itu adalah sebagai pengiktirafan kepada wira negara yang banyak berkorban dan menyumbang ke arah kesejahteraan serta kemajuaan mesyarakat di negara ini.

Sumbangan 6,000 buku menerusi MUBARAK kepada Kementerian Pendidikan itu ditaja Kumpulan UEM Bhd (UEM) dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) untuk diedarkan ke sekolah seluruh negara supaya menjadi iktibar kepada pelajar.

Ia diserahkan oleh Aziz kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Madinah Mohamad dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof dalam satu upacara simbolik yang disaksikan Muhyiddin, di sini, semalam.

Timbalan Perdana Menteri juga menyaksikan dua penaja buku 100 Wira Negara iaitu UEM yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Izzaddin Idris dan Bank Rakyat, diwakili Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik, menyerahkan tajaan kepada Khair.

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk