Free Islamic App

Saturday, 1 February 2014

ASEAN belum layak jadi hos Piala Dunia

ASEAN belum layak jadi hos Piala Dunia

Banyak aspek perlu diteliti sebelum negara-negara ASEAN bersepakat mahu meneruskan cadangan membida Piala Dunia 2034 sebagai tuan rumah bersama, menurut bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan.

Beliau berkata, rancangan sepuluh negara ASEAN tersebut disulami dengan pelbagai kesukaran dan cabaran, antaranya daripada aspek logistik, standard bola sepak di rantau ini, cabaran diplomatik dan kemampuan ekonomi.

Selain itu, rancangan membida itu mengundang pelbagai perbahasan antaranya tugas rumit untuk memutuskan di manakah perlawanan pembukaan diadakan, negara mana menjadi tuan rumah perlawanan final dan negara mana layak secara automatik.

Velappan, yang memegang jawatan sebagai setiausaha agung AFC dari 1977 hingga bersara pada 2007, merupakan Pengarah Koordinasi Jawatankuasa Penganjur Piala Dunia 2002 di mana Jepun dan Korea Selatan menjadi tuan rumah bersama.

Beliau menegaskan, negara pembida juga perlu merangka satu rangka kerja khusus meliputi penyediaan kemudahan awam seperti pengangkutan selain kemampuan negara berkenaan menampung kedatangan pelancong luar yang hadir menyaksikan Piala Dunia.

Di samping syarat-syarat asas, katanya, Malaysia perlu memperbaiki ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) supaya dapat bertapak dalam kalangan negara-negara di peringkat tertinggi sukan itu.

“(Sebagai contoh), skuad bola sepak negara mampu mengatasi Jepun dan Korea Selatan pada era 60 dan 70-an tapi sekarang taraf (bola sepak) kita terlalu rendah.

“Bagi saya, bidaan itu hanya impian semata-mata sebab pasukan-pasukan (Asia yang lain) sudah mencapai taraf ke Piala Dunia (berbanding pasukan kita)," katanya kepada Bernama semalam.

Velappan berkata, FIFA berkemungkinan sangsi untuk menerima bidaan ASEAN memandangkan jumlah bilangan negara yang terbabit.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Malaysia secara dasarnya bersetuju mengenai bidaan tersebut namun mereka perlu menunggu keputusan daripada negara anggota lain.



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk