Sesudah pasukan abang menjadi mangsa, giliran skuad adik, PKNS pula dibaham oleh Bujang Senang dengan kekalahan 0-2 di Stadium Selayang, malam tadi.
Pemain import dari Serbia, Milorad Janjus menggegar gawang PKNS seawal minit ke-9 sebelum Gabor Gyepes menggandakan kelebihan buat Sarawak, enam minit kemudian.
Namun, pemain yang layak dijulang sebagai wira 'Ngap Sayot' adalah Ronny Harun yang menjadi punca kepada kedua-dua gol dimiliki Sarawak menerusi balingan terus ke dalam kotak penalti.
Kekalahan PKNS itu bermakna momentum kemenangan empat kali berturut-turut Red Ants terencat dengan kekalahan kali pertama di tempat sendiri, sementara Bujang Senang selaku pendatang baru Liga Super meraih kemenangan kedua.
Kekuatan tangan Ronny jelas menjadi duri buat pertahanan PKNS apabila bola yang dibaling hadir tepat di kepala Janjus dan Gyepes yang menanduk mudah ke dalam gawang PKNS yang dikawal Mohd. Zamir Selamat.
Dua gol pantas itu mengejutkan PKNS yang kebuntuan di babak pertama dengan gandingan Patrick Ronaldinho dan Karlo Primorac seperti ketiadaan idea.
Jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengakui walaupun skuadnya tidak beraksi dengan baik namun taktikalnya menggunakan kelebihan yang pada Ronny membuahkan hasil.
" Secara keseluruhan, kami tidak bermain bola sepak dengan baik namun saya tidak boleh menyalahkan pemain kerana mereka beraksi dua perlawanan dalam seminggu.
"Walaupun menukar ramai pemain dari perlawanan terakhi, dua gol dalam tempoh 16 minit merealisasikan harapan kami untuk meraih tiga mata," kata Alberts.
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment