Free Islamic App

Thursday 6 February 2014

Chelsea menang 1-0 lawan Manchester City

Chelsea menang 1-0 lawan Manchester City

Jurulatih yang terkenal dengan gemar bermain psikologi, Jose Mourinho berkata, Chelsea boleh merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini hanya jika dua pesaing utamanya, Arsenal dan Manchester City mengalami banyak kekalahan.

Terkenal dengan jolokan 'The Special One', Mourinho malah turut mengulas mengenai Liverpool, yang dianggap memiliki kelebihan untuk mencabar gelaran, apatah lagi The Reds merupakan satu-satunya pasukan dalam kelompok empat teratas yang tidak beraksi pada Liga Juara-Juara Eropah.

Mourinho menegaskan, beliau lebih selesa jika Chelsea dianggap sebagai 'kuda hitam' yang mampu memberi saingan kepada pasukan utama, tetapi bukan pasukan pilihan untuk menjulang kejuaraan.

Biarpun ramai yang menganggap kelab London itu sebagai pencabar utama kejuaraan Liga Perdana musim ini, terutama selepas menumbangkan Manchester City 1-0 di Etihad, Isnin lalu, Mourinho sebaliknya menegaskan, status pilihan tidak sesuai dengan The Blues.

"Memang kami boleh.. (merangkul kejuaraan), tetapi kalau mereka (Arsenal dan City) kalah.

"Saya rasa, City adalah sebuah pasukan yang sangat menakjubkan, manakala Arsenal telah berkerja keras sejak beberapa tahun lalu dan sedang melalui satu evolusi baharu.

"Apa yang kami lakukan musim ini telah pun dilakukan oleh Arsenal sejak empat, lima atau enam tahun lalu, jadi sudah tentu mereka adalah pilihan dan bukan Chelsea.

"Liverpool juga sebuah pasukan yang hebat dan mereka cuma beraksi satu perlawanan seminggu kerana tidak perlu bermain dalam Liga Juara-Juara.

"Sebaik kempen Liga Juara-Juara bermula nanti, tiga pasukan utama akan terlibat, tetapi mereka tidak, jadi mereka ada kelebihan di situ," kata Mourinho.

Pengendali kelahiran Portugal itu bagaimanapun mengakui, kemenangan ke atas City telah meningkatkan keyakinan anak-anak buahnya, malah beliau turut memuji bintang baharu pasukan, Nemanja Matic yang berjaya menenggelamkan bintang City, Yaya Toure di bahagian tengah.

"Kami mempersembahkan satu permainan bola sepak yang menarik. Kami beraksi dengan sangat..sangat bagus dan pasukan ini sedang berada di tahap terbaik," katanya lagi.



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk