Jaringkan gol atau kontrak ditamatkan'. Itu amaran keras daripada Pengurus Perak, Datuk Azhar Ahmad kepada dua penyerang import pasukan itu, Zelimer Terkes dan Eliel Da Cruz Guardiano yang masih gagal menunjukkan prestasi cemerlang selepas empat perlawanan bersama skuad Bos Gaurus.
Kedua-dua pemain itu diberi peluang untuk membuktikan kemampuan dalam dua perlawanan Liga Super iaitu menentang Kelantan di laman sendiri, Sabtu ini dan menentang Sarawak di Kuching pada 15 Februari ini.
Tegas Azhar, jika masih gagal, kontrak kedua-dua pemain itu mungkin akan ditamatkan.
"Saya telah memberi amaran kepada kedua-dua pemain itu minggu lepas dan sekali lagi semalam. Namun saya tetap memberi mereka peluang untuk mempamer prestasi yang terbaik.
"Mereka perlu meningkatkan mutu permainan dalam dua perlawanan seterusnya, jika masih tidak berubah saya akan tukarkan mereka dengan pemain baharu," katanya pada sidang akhbar selepas sesi Hari Bertemu Pelanggan di Dewan Serbaguna SUK, semalam.
Azhar berkata, pihaknya juga telah mengenalpasti pemain yang mungkin dibawa masuk, termasuk pemain dari Brazil, Anderson Rodrigues Cardoso yang sebelum ini pernah diuar-uarkan untuk bermain dengan Perak.
Katanya, seorang lagi adalah penyerang kelab Vietnam yang menjuarai Piala AFC sebanyak empat kali, Dong Nai, iaitu David Balla.
Katanya, pertukaran pemain dijangka dilakukan pada April ketika tempoh perpindahan dibuka.
Bagaimanapun, Azhar berpuas hati dengan persembahan dua lagi pemain import, Martin Kafando dan Kyaw Zayar Win setakat ini.
Mengulas perlawanan dengan Kelantan pada 8 Februari ini, Azhar berkata, Perak mesti menang untuk meyakinkan penyokong mereka agar datang memenuhi stadium.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment