LIVERPOOL - Brendan Rodgers semakin hampir mengikat pemain sayap yang dipercayai mampu menguatkan cabaran Liverpool untuk beraksi pada Liga Juara-Juara Eropah musim depan dengan terbang ke Ukraine bagi membawa pulang Yevhen Konoplyanka menerusi bayaran 20 juta pound (RM110.31 juta).
Selepas gagal mendapatkan Mohamed Salah yang 'dicantas' oleh Chelsea pada saat akhir, Pengarah Urusan Liverpool, Ian Ayre segera mencari calon baharu dan sudah berbincang dengan pengurusan kelab Ukraine, Dnipro untuk membeli pemain tengah serba boleh berusia 24 tahun, Konoplyanka.
Biarpun ada usaha untuk 'mengacau' rundingan daripada kelab London, Tottenham tetapi tindakan mereka sudah terlewat kerana Liverpool dan Dnipro sudah mencapai persetujuan. Konoplyanka dikhabarkan bakal menandatangani kontrak lima tahun.
Konoplyanka, yang beraksi dalam kedua-dua perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang England, meledakkan gol tunggal pasukannya ketika mengikat The Three Lions 1-1 di Wembley pada September, 2012. Dia dilabel sebagai pemain tengah terbaik negara itu ketika ini dan mampu bermain dengan efektif di kedua-dua posisi, sayap dan tengah.
Bapa pemain tersebut, Oleg mengesahkan Liverpool sudah mengemukakan tawaran kepada anaknya tetapi enggan mengulas lanjut mengenai rundingan yang berjalan kerana ia adalah urusan kelab.
Selepas kecewa gagal mendapatkan Salah, Rodgers telah berkerja keras untuk mencari calon baharu yang berwibawa bagi menguatkan cabaran juara Eropah lima kali itu. Kemenangan 4-0 ke atas musuh setempat, Everton Selasa lalu membuktikan kesungguhan The Reds untuk menempatkan diri dalam kalangan empat pasukan terbaik Liga Perdana Inggeris musim ini.
"Harap kami akan dapat melakukan satu pembelian besar sebelum jendela perpindahan ditutup," kata Rodgers.
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment