Free Islamic App

Sunday, 16 February 2014

Hambar di Selayang

Hambar di Selayang

Ketiadaan Mohd. Nazmi Faiz Mansor dan Patrick Ronaldinho Wleh menyebabkan PKNS gagal mengutip mata penuh apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Sime Darby dalam perlawanan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, semalam.

Pengendali PKNS, Wan Jamak Wan Hassan mengakui, dua pemain tersebut mampu memberi impak yang sangat besar buat PKNS dan ketiadaan mereka amat dirasai.

"Nazmi digantung satu perlawanan, manakala Patrick Ronaldinho mengalami kecederaan ketika menentang Kelantan," kata Wan Jamak.

Pada perlawanan semalam, Sime Darby dilihat lebih banyak mencipta peluang untuk menghasilkan gol, terutama pada separuh masa pertama.

Peluang terbaik Sime Darby hadir pada minit ke-14 menerusi gerakan solo pemain import dari Syria, Muhmoud Al Amna dalam kotak penalti PKNS namun rembatannya menyebabkan bola melayang tinggi sebelum gerakan rakan sepasukan Wisdom Agblexo gagal memanfaatkan peluang diraih pada minit ke-38.

Selepas ini PKNS dijadual menentang Perak pada 8 Mac ini manakala Sime Darby akan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada hari yang sama.

Sementara itu dalam perlawanan Liga Perdana, jaringan hatrik Ali Ashfaq membantu PDRM membelasah pasukan tangga tercorot, Perlis 7-1 di Stadium Petaling Jaya semalam, sekali gus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu.

Pemain Maldives itu meledak gol pada minit ke-15, 51 dan 85 dalam perlawanan yang jelas berat sebelah.

Seorang lagi pemain import PDRM, Charles Souza Chad dari Brazil menambah dua gol pada minit ke-49 (penalti) dan 65.

Bobby Gonzales dan Khairul Izuan Abdullah masing-masing menjaringkan satu gol, manakala jaringan saguhati Perlis dihasilkan pemain dari Ivory Coast, Dao Bakary pada minit ke-55.

Sementara itu, JDT II bangkit daripada kekalahan mengejut 2-3 kepada DRB-Hicom minggu lalu dengan menumpaskan wakil Pulau Pinang, PBAPP 1-0 di Stadium Pasir Gudang. Gol tunggal tuan rumah disempurnakan oleh See Kok Luen pada minit ke-67.

Di Stadium Darul Aman, Alor Setar,Kedah tumbang 0-1 kepada Negeri Sembilan.

Di Stadium Hang Jebat, SPA Putrajaya kalah besar 0-4 kepada Felda United, manakala di Stadium UiTM Shah Alam, Sabah mencatat kemenangan keduanya musim ini dengan menumpaskan tuan rumah, Universiti Teknologi Mara (UiTM) 1-0 dan di Stadium Bandaraya Pulau Pinang menang 2-1 ke atas DRB Hicom.



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk