Free Islamic App

Tuesday, 11 February 2014

Rahsia Pahang dalam 'kocek' Dollah

Rahsia Pahang dalam 'kocek' Dollah

Bagaikan pertemuan jejak kasih buat Dollah Salleh malam ini apabila skuad kendaliannya, PDRM akan melayani kunjungan bekas pasukannya yang dibimbing musim lalu, Pahang dalam saingan suku akhir Piala FA di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Enggan lagi menceritakan kisah silam bersama Pahang, Dollah berdepan misi paling sukar semenjak bertindak pengendali pasukan 'Sang Saka Biru' tetapi segala rahsia pemain Tok Gajah ada dalam kepalanya dan dia sudah mempunyai taktikal tersendiri bagi berdepan bekas anak-anak buahnya.

Mahu mendapatkan seberapa banyak jaringan bagi mencipta bekalan selesa pada pertemuan timbal balik kedua di Kuantan, 18 Januari nanti, Dollah mengharapkan persembahan paling baik akan ditampilkan oleh PDRM berbanding apa yang mereka lakukan semasa bersaing di Liga Perdana.

''Memang tidak dinafikan setiap pemain Pahang saya cukup kenal dengan kekuatan serta kelemahan masing-masing namun itu tidak memberikan sebarang kelegaan memandangkan mereka semua adalah pemain yang baik.

''Pahang semenjak di bawah kendalian Ronald Smith, saya lihat mereka begitu mantap di semua bahagian dan kehadiran Dickson Nwakaeme serta Zesh Rahman, menguatkan lagi pasukan mereka.

''Memang ini ujian paling berat buat saya semenjak mengambil alih PDRM tetapi jika para pemain memberikan fokus dan memberikan 200 peratus, tidak mustahil Pahang kami mampu kejutkan, " katanya ketika dihubungi, semalam.

PDRM merupakan pendahulu Liga Perdana apabila memenangi tiga perlawanan berturut-turut di samping telah menjaringkan sembilan gol dan dianggap antara pasukan yang mampu mencuri perhatian musim ini dengan kehadiran pemain-pemain berkualiti seperti bintang Maldives, Ashfaq Ali, penyerang import dari Brazil, Charles Souza Chad serta bekas penyerang Sarawak, Bobby Gonzales.

Walaupun begitu, 'Sang Saka Biru' berdepan tugasan berat untuk berdepan Pahang kerana lima pemain mereka masih dihantui masalah kecederaan iaitu Mohd. Muslim Ahmad, Munir Amran, Arman Fareez Mohd. Ali, Mohd. Hazuan Mohd. Daud dan V. Thirumurugan.

Dalam masa sama, Dollah jauh di sudut hatinya mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh para pemain malahan rekod cemerlang yang dicapai dalam saingan Liga Perdana sebelum ini adalah kerana aksi yang baik ditunjukkan beberapa pemain individu.

''Skuad ini masih tercari-cari lagi rentak untuk bermain sebagai satu pasukan selepas tiga perlawanan kita lalui dan saya mahu mereka buktikan apa yang saya cakap ini silap dengan satu persembahan bertenaga mampu mereka tampilkan.

''Beraksi di Paroi malam esok (malam ini), saya mahu mereka ambil kesempatan kerana dapat bermain di atas padang yang lebih baik dan buktikan siapa mereka sebenarnya, " katanya.



Artikel Penuh:  © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk