Boss Liverpool, Brendan Rodgers menegaskan, pemburuan kelab gergasi Anfield itu untuk merangkul gelaran Liga Perdana Inggeris tidak bergantung sepenuhnya kepada Luis Suarez seorang, walaupun bintang Uruguay itu mempamerkan satu lagi persembahan yang memukau, semalam.
Suarez, yang melakukan penampilan ke-100 bersama kelab itu, dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas melakar kemenangan 3-0 di Southampton yang sekali gus melonjak kedudukan Liverpool di kedudukan kedua dalam carta liga.
Pemain itu menjaringkan gol pembukaan sebelum melakukan hantaran silang bagi Raheem Sterling menyumbat gol kedua dan pada ketika dia sedang berlari membawa bola secara solo dalam kotak penalti, Suarez dijatuhkan oleh Jose Fonte pada minit terakhir permainan yang membuka laluan kepada Steven Gerrard menyempurnakan sepakan penalti untuk gol ketiga. Namun, Rodgers tidak pula memuji Suarez seorang.
"Ini semua membantu apabila anda memiliki sebuah pasukan yang mantap. Luis memang pemain sensasi. Walaupun, dia hanya meledakkan empat gol daripada 33 jaringan terakhir kami, dia masih memberi pengaruh besar kepada pasukan. Tetapi, hari ini (semalam) semuanya mengisahkan tentang skuad kami dan bermain secara kolektif," kata Rodgers.
Walaupun kemenangan di Southampton, masih belum meletakkan Liverpool di kedudukan yang selesa, namun ia memadai untuk melonjakkan The Reds di tangga kedua ekoran kekalahan 0-1 Arsenal di Stoke.
Keputusan tanpa bolos yang jarang sekali dilakar Liverpool dan gol pertama Suarez dalam enam perlawanan sudah cukup membuat para penyokong yang berkunjung ke St Mary menyanyi beramai-ramai mengenai impian untuk merangkul gelaran.
Namun, Rodgers enggan diheret untuk bercakap mengenai gelaran, lebih-lebih lagi Chelsea memiliki kelebihan empat mata di depan dan Manchester City mempunyai kelebihan dua perlawanan ditangan.
"Buat penyokong, memang bagus untuk mereka mempunyai impian sedemikian, tetapi saya tidak memberi tumpuan kepada merangkul gelaran. Fokus saya adalah untuk mencatat kemenangan dalam perlawanan berikut. Kami berjaya mempamerkan permainan cemerlang hari ini, yang memberi signifikan kepada skuad dan pengurus yang bagus.
"Para pemain secara taktikal telah beraksi dengan bijak sekali, kami berjaya mengekalkan permainan tanpa bolos, menjaringkan tiga gol dan sebenarnya berpeluang meledakkan lima atau pun enam gol. Tetapi kami perlu bertenang kerana masih ada 10 perlawanan lagi, kami berada di kedudukan yang baik dan mahu terus memperbaiki tahap permainan," ujar Rodgers.
Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment