berkunjung ke Barcelona baru-baru ini penulis berkesempatan bertandang ke kediaman pelumba Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang menjadikan bandar raya paling kaya di Sepanyol itu tapak bagi meneruskan kariernya sebagai penunggang motosikal profesional.
Keputusan untuk menetap di Barcelona dibuat setelah memikirkan masa depan kariernya dalam sukan pemotoran bagi tempoh jangka panjang. Pelumba Petronas Raceline Malaysia itu tinggal bersendirian tanpa ditemani ahli keluarga yang mendoakannya dari kejauhan di Malaysia.
Sewaktu menjejakkan kaki ke apartmen yang disewa anak muda berusia 19 tahun itu, didapati kediaman yang dihuni Hafizh cukup selesa. Kediaman tersebut dilengkapi set perabot dan menetap jauh di perantauan turut mendidik Hafizh supaya lebih berdikari.
Menurut Hafizh, sejak tinggal bersendirian di Barcelona, dia belajar hidup berdikari termasuk memasak dan membasuh pakaiannya sendiri.
"Saya sebenarnya tidaklah pandai memasak. Tetapi untuk mengalas perut saya sendiri, lepaslah. Saya rasa tak susah untuk masak nasi atau pun goreng telur sendiri. Keluarga ada mengirimkan pelbagai bahan masakan untuk saya masak," katanya yang tidak cerewat apabila soal makanan dibangkitkan.
Hafizh yang bakal membuat kemunculan sulung dalam Kejuaraan Motosikal Dunia bagi musim 2014 memberitahu, kehidupannya di Barcelona sentiasa terisi dengan sesi latihan di litar dan juga bersenam di gimnasium serta berbasikal bagi meningkatkan tahap kecergasannya.
Ketika ditanya sama ada dia berasa kesunyian apabila terpaksa tinggal bersendirian di Sepanyol, Hafizh tidak menafikan sekali-sekala dia memang terasa sunyi, tetapi pengurus pasukan, Barry Leong kerap ke Barcelona bagi memantau perjalanan kariernya.
"Barry sering berada di samping saya. Memang dia tidak menetap di sini, tetapi Barry kerap menjenguk saya, lebih-lebih lagi menjelang perlumbaan hinggalah perlumbaan selesai dia akan berada dengan saya," ujar anak muda itu yang digelar Pescao (ikan kecil) oleh para peminatnya di Sepanyol.
Sepanjang berada di Barcelona, penulis turut diajak Hafizh menonton perlawanan bola sepak kelab kegemarannya iaitu Barcelona di Nou Camp. Sememangnya anak muda itu amat meminat sukan bola sepak. Malah, ketika berkunjung ke kediamannya, program televisyen yang ditonton Hafizh ialah perlawanan bola sepak.
Malah, Hafizh yang amat meminati penyerang Barcelona, Neymar berkata, jika tidak menjadi seorang pelumba motosikal profesional, mungkin dia kini bergelar pemain bola sepak kerana sukan tersebut amat diminatinya sejak zaman kanak-kanak lagi.
Keterujaan Hafizh menyaksikan perlawanan antara Barcelona menentang Malaga dapat dilihat dengan cukup ketara apabila sesekali dia mengikut para penyokong menyanyi beramai-ramai terutamanya ketika kelab kesayangannya itu sedang mengasak kubu lawan.
Mengulas mengenai penampilan sulungnya dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, Hafizh yang telah tiga tahun di Sepanyol menjelaskan, dia sememangnya tidak sabar untuk memulakan aksi dalam perlumbaan dunia itu yang akan memulakan kempen 2014 di Litar Losail, Qatar.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment