Free Islamic App

Monday 3 March 2014

Kemarau trofi sangat memalukan - Sagna

Kemarau trofi sangat memalukan - Sagna

Bacary Sagna mengakui ia sesuatu yang 'memalukan' buat Arsenal apabila terpaksa mengharungi selama sembilan tahun tanpa memenangi sebarang trofi kejuaraan.

Bagaimanapun, Sagna menegaskan perkara itu membuatkan The Gunners menjadi lebih bersemangat untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris atau pun merangkul Piala FA, musim ini.

"Ini akan menjadi trofi pertama saya. Saya berada di sini selama tujuh tahun dan saya tidak memenangi sebarang kejuaraan, sesuatu yang memalukan buat kelab, penyokong dan kami.

"Sebagai pemain yang ingin berjaya, anda akan menunjukkan kualiti dan apabila anda tidak menang, ia akan membuatkan anda terfikir apa yang sedang berlaku. Perkara itu membuatkan anda lebih berkeinginan untuk menang.

"Kami mempunyai kualiti untuk berjaya. Setiap hari saya berfikir mengenainya, setiap hari saya datang ke sesi latihan dan ia menjadikan saya lebih baik dan kami berharap untuk memenangi sesuatu.

"Cita-cita kami untuk kekal di tangga teratas liga. Kami memiliki pasukan yang hebat untuk berjaya pada penghujung musim, tetapi kami perlu kekal fokus.

"Kami perlu belajar daripada apa yang berlaku sebelum ini, semua pemain sudah bersedia untuk berjuang dan menunjukkan kesungguhan kami," kata Sagna yang turut memberi gambaran bahawa dia akan terus kekal bersama Arsenal.

Sagna akan tamat kontrak bersama Arsenal, hujung musim ini dan masa depannya bersama kelab itu masih samar-samar apabila The Gunners hanya menawarkan kontrak baharu selama dua tahun.

Inter Milan dikhabarkan bakal mengadakan perbincangan pada minggu ini dan pemain itu berpeluang untuk menandatangani pra-kontrak bersama kelab tersebut, manakala Galatasaray, Paris Saint-Germain dan Monaco turut berminat mendapatkan khidmat Sagna.

Pemain itu boleh meninggalkan Arsenal, musim panas ini tetapi Sagna menegaskan dia tidak berminat untuk berbuat demikian.

"Saya sayangkan Arsenal, saya gembira bermain untuk Arsenal. Arsenal merupakan kelab yang sering menjadi tumpuan di Perancis dan saya masih ingat, saya selalu menonton perlawanan kelab ini ketika di Perancis dan ia merupakan satu kegembiraan untuk saya beraksi bersama mereka, kenapa saya perlu tinggalkan kelab ini?

"Keadaan di sini sangat hebat. Ia bagai suatu mimpi ketika menyertai kelab ini kerana sebelum ini saya hanya mengikuti perkembangan mereka ketika di Perancis dan kemudian saya berpeluang menyertainya dan ia merupakan sesuatu yang menyeronokkan," katanya.



Artikel Penuh: © Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk