Free Islamic App

Monday 17 March 2014

Harimau Muda A berpesta gol

Harimau Muda A berpesta gol

Harimau Muda A terus mempamerkan aksi cemerlang apabila mencatatkan kemenangan selesa 5-2 ke atas Redlands United dalam perlawanan kedua Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland di Cleveland, Australia semalam.

Walaupun ketinggalan seawal minit ke-15, menerusi jaringan Rhys Meredith anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee tidak panik dan menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Amirul Hisyam Awang Kechik hanya tiga minit kemudian.

Wan Ahmad Amirzafran Wan Nadris meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-25 namun Redlands hanya memerlukan 10 minit untuk menya­makan semula kedudukan menerusi sepakan penalti Graham Fyfe.

Skuad kendalian Kim Swee meneruskan rentak cemerlang apabila Mohd. Ferris Danial Mat Nasir menjaringkan gol ketiga pada minit ke-79 sebelum pasukan lawan terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila James Donnelly dibuang padang dua minit kemudian.

Jaringan keempat Harimau Muda hadir menerusi sepakan penalti D. Saarvindran pada minit ke-82 sebelum Mohd. Ridzuan Abdunloh menjaringkan gol kelima ketika perlawanan berbaki seminit.

Kim Swee ketika dihubungi Utusan Malaysia memberitahu, pasukannya mempamerkan corak permainan yang lebih kemas berbanding perlawanan sebelumnya, selain berjaya menyempurnakan peluang-peluang yang dihasilkan dengan baik.

Meskipun berjaya menjaringkan lapan gol dalam dua perlawanan pertama namun beliau masih tidak berpuas hati kerana pada masa sama pasukannya dibolosi lima gol, setelah sebelum ini seri 3-3 dengan Moreton Bay United dalam perlawanan pertama.

“Pada separuh masa pertama kami terikat 2-2 tetapi pada separuh masa kedua berjaya mencari tiga gol menerusi corak permainan pantas yang dipamerkan selain berjaya mengawal rentak permainan bagi memastikan kemenangan.

“Saya masih tidak berpuas hati kerana dalam dua perlawanan ini kami sudah dibolosi dengan lima gol. Jumlah ini sangat besar dan tidak boleh berlaku lagi kerana adalah mustahil untuk setiap perlawanan pemain dapat menjaringkan gol yang banyak.

“Selepas ini saya akan lakukan sedikit perubahan di beberapa posisi bagi bagi memantapkan pasukan selain memberi peluang kepada para pemain yang belum beraksi," katanya.



Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk