Free Islamic App

Saturday, 22 March 2014

Mourinho yakin dengan potensi Chelsea

Jurulatih Chelsea, Jose Mourinho mula mendabik dada selepas pasukannya mara ke pusingan suku akhir Liga Juara-Juara.


Branislav Ivanovic and John Terry of Chelsea celebrate victory after the Barclays Premier League match between Chelsea and Everton


Mourinho berkata, anak-anak buahnya tidak gentar untuk berdepan kelab-kelab gergasi Eropah selepas menyingkirkan Galatasaray dengan agregat 3-1.
Pada aksi kedua pusingan kalah mati di Stamford Bridge semalam, Chelsea tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan 2-0 hasil jaringan Samuel Eto'o dan Gary Chill masing-masing pada minit keempat dan 42.
Kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi pertama di Turk Telekom Arena, 26 Februari lalu.
Kejayaan tersebut tidak menggambarkan Chelsea sebagai satu kuasa besar tetapi berdasarkan kedudukan semasa selaku pendahulu Liga Perdana England, skuad The Blues dijangka sudah bersedia untuk berdepan beberapa kelab gergasi Eropah seperti Bayern Munich, Barcelona, Real Madrid dan Paris Saint Germain yang sudah melayakkan diri ke suku akhir Liga Juara-Juara.
Bertemu salah sebuah pasukan besar itu dianggap sebagai ujian utama buat pemain-pemain muda Chelsea tetapi Mourinho yakin mereka akan mencapai potensi yang terbaik.
Mourinho turut yakin anak-anak buahnya sudah bersedia untuk menghadapi cabaran tersebut dan mampu menyingkirkan salah sebuah kelab gergasi Eropah itu.
"Kesemua pasukan besar berada di sini (suku akhir), kesemua pasukan ini dianggap sebagai pilihan untuk memenangi pertandingan ini.
"Kami sudah bersedia untuk berdepan mereka. Sangat baik untuk evolusi kami sebagai sebuah pasukan sekiranya kami bertemu salah sebuah pasukan tersebut.
"Kami tidak sabar untuk menentang mana-mana pasukan sebaik keputusan undian (Liga Juara-Juara) diumumkan nanti," katanya.
Mourinho dari Portugal pernah menjulang trofi Liga Juara-Juara di Porto dan Inter Milan.
Ketika ditanya adakah beliau teruja untuk menjadikan Chelsea sebagai sebuah pasukan yang digeruni di Eropah, Mourinho lebih berminat untuk memuji persembahan anak-anak buahnya pada aksi menentang Galatasaray.
"Saya tidak pernah tewas di suku akhir? Saya tidak pernah memikirkannya. Saya sedar, saya menghadapi banyak perlawanan dalam kempen Liga Juara-Juara.
"Ia adalah satu persembahan yang baik. Kami sangat solid dan kompak tanpa ada sebarang rasa takut.
"Kami lebih banyak menguasai permainan. Kami memperoleh peluang terbaik dan mungkin keputusan menjadi sangat besar kerana kami lebih baik berbanding Galatasaray," katanya.



No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk