Pengendali Chelsea, Jose Mourinho percaya bintang Jerman, Andre Schurrle mampu menampilkan lebih banyak aksi menarik selepas kejayaannya menjaringkan hatrik bagi membantu The Blues berada di puncak liga dengan kelebihan empat mata.
Schurrle terpaksa bekerja keras untuk menempatkan diri dalam kesebelasan utama Mourinho dan penampilannya, kelmarin ketika menang 3-1 ke atas Fulham merupakan yang kelapan sejak berpindah ke Chelsea dari Bayer Leverkusen, Jun lalu.
Pemain itu berjaya menghasilkan tiga jaringan hebat dalam tempoh 17 minit dan Mourinho percaya dia semakin berjaya menyesuaikan diri dengan cara permainan bola sepak Liga Perdana Inggeris.
"Ia merupakan sesuatu yang saya harapkan daripada Schurrle. Dia masih dalam proses menyesuaikan diri dengan liga Inggeris. Dia perlu memahami liga ini.
"Sesuatu yang sukar untuknya beraksi selama 90 minit untuk kami, dia tidak pernah melakukan dalam kehidupannya, tetapi apa yang saya harapkan daripadanya memang agak keterlaluan.
"Namun, dia tidak berasa ragu-ragu ketika berada di hadapan pintu gol. Dia selalu menjaringkan gol. Dia melihat reaksi penjaga gol, kemudian dia menjaringkan gol menggunakan kaki kanan atau kiri, dia penyerang yang baik. Ini yang saya harapkan daripadanya," katanya.
Fulham meraih gol saguhati pada minit ke-74 menerusi Johnny Heitinga, tetapi gagal menggugat kemaraan Chelsea.
Kekalahan Arsenal kepada Stoke City membolehkan Chelsea berada di tangga teratas liga dengan kelebihan empat mata, namun Mourinho menyifatkan Manchester City berpeluang untuk meraih kejuaraan liga kerana masih mempunyai baki dua perlawanan.
Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment