Free Islamic App

Monday, 3 March 2014

Mat Yo tetap aset Harimau Malaya - Kim Swee

Mat Yo tetap aset Harimau Malaya - Kim Swee



Jurulatih sementara Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee tetap menganggap Norshahrul Idlan Talaha sebagai aset kepada pasukan biarpun penyerang itu lewat melapor diri Rabu lalu atas alasan misteri peribadi sehingga didenda RM5,000.

Katanya, seorang pemain sebagus Norshahrul atau gelarannya Mat Yo tidak akan menjejaskan pasukan kecuali jika dia menunjukkan sikap yang buruk, menjelang perlawanan bola sepak persahabatan antarabangsa dengan Filipina di Selayang hari ini.

"Mat Yo membatalkan rancangan mengerjakan umrah (Isnin ini) dan bagi saya, itu satu keputusan besar bagi kita dan perlu menyokongnya. Dia pemain yang bagus, apabila yang bagus datang ke dalam pasukan awak, pastinya tidak menjejaskan (pasukan).

"Saya tidak melihatnya (lewat melapor diri) satu masalah besar," kata Kim Swee dalam sidang akhbar perlawanan itu di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Perlawanan dengan Filipina itu merupakan persediaan skuad negara sebelum menghadapi Yemen dalam kelayakan Piala Asia pada Rabu ini.

Kim Swee turut menjanjikan penampilan Mat Yo menentang skuad Azkals bimbingan Thomas Dooley walaupun belum pasti untuk menurunkannya dalam kesebelasan utama atau sekadar bermain bagi tempoh tertentu.

Beliau turut mahu memanfaatkan kebenaran menukar enam pemain di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu khususnya dalam menguji gandingan tertentu di bahagian tengah sebagai persediaan menentang Yemen.

"Bahagian tengah berkemungkinan besar ada perubahan. Ada enam calon di situ manakala pertahanan tidak banyak berubah. Saya akan pilih gandingan terbaik di antaranya untuk melawan Yemen," katanya.

Beliau turut mengingatkan anak buahnya agar tidak mengambil mudah cabaran Filipina yang telah layak dua kali berturut-turut ke separuh akhir Piala Suzuki AFF lalu sekali gus mungkin mampu menghukum kesilapan tuan rumah.

Ketua pasukan negara, Aidil Zafuan Abd. Radzak pula berkata, dia dan rakan-rakannya akan berusaha untuk membentuk persefahaman menerusi pertemuan hari ini.

"Dengan tempoh sepuluh hari persediaan, saya akan jalankan tugas yang diberikan dengan terbaik dan membuktikan kepada peminat bahawa pemilihan pemain negara kali ini masih satu tindakan yang wajar," katanya.

Sementara itu, perlawanan itu merupakan tugasan sulung Dooley bersama Filipina sejak diperkenalkan sebagai jurulatih skuad itu pada awal Februari.

"Ini perlawanan pertama saya dengan pasukan Filipina sebagai persediaan ke Piala Cabaran AFC. Kami tidak mempunyai masa mencukupi untuk berlatih bersama dan membuat persediaan," katanya.



Artikel Penuh:
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Widget Ping Busuk